KUCHING: Transformasi pertanian moden memerlukan penyertaan aktif sektor swasta serta perkongsian global bagi mempercepatkan pengeluaran.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pertanian moden dapat memperkukuhkan sektor makanan dan pertanian sebagai tunjang utama ekonomi negeri.
Katanya, inisiatif modenisasi mampu mempercepatkan proses kerja terutamanya bagi tujuan eksport.
“Visi kami adalah untuk memoden dan mengkomersialkan sektor makanan dan pertanian dengan menggunakan teknik pertanian pintar dan menjalin perkongsian global untuk mempercepatkan pengeluaran.
“Pemodenan ini akan menyokong pemprosesan makanan hiliran yang lebih tinggi dan nilai tambah khususnya untuk pasaran eksport.
“Untuk mencapai visi ini, kami memupuk penyertaan aktif sektor swasta untuk mempercepatkan penggunaan amalan pertanian moden,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibaca Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Pelancaran 'Sarawak AgriFoodTech Sustainability Impact Fund' di sini, hari ini.
Abang Johari menambah, beberapa inisiatif utama seperti taman agro, taman akuakultur dan taman agroteknologi mula dilaksanakan untuk menyediakan platform bagi sektor swasta meneroka dan melabur dalam industri tersebut.
Katanya, zon khusus ini dilengkapi dengan infrastruktur yang diperlukan untuk menarik pelaburan swasta dan menyokong pertumbuhan daripada industri asas tani.
Hadir sama Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben.